CAPSULE 8: CATATAN PERIBADI KEEMPAT #KEJORA2021

Ditemani Alunan Nocturne Op. 9 No. 2 Oleh Chopin

(AM, 2019)

Saat menulis cerita ini, aku berada di Jakarta atas urusan penjelajahan dan meluaskan penggunaan teknologi di sekolah-sekolah. Aku memanggil misi kali ini sebagai misi memberi kepercayaan kepada diri sendiri dan juga memberi makna kepada perkara yang kerapkali berulang di bibir; menjadi manusia yang kecantikkannya bukanlah memakai perhiasan-perhiasan mewah tetapi mempunyai ilmu pengetahuan, tutur kata dan tatasusila yang tinggi maknanya di sisi Tuhan.

Antara misi yang lain adalah mengenali antara kota paling pesat di dunia, mengenali kekuatan diri sendiri jika perlu bersendiri dalam mengendali tanggungjawab dan mengetahui apa lagi kudrat yang boleh aku sumbangkan ke dunia. Takdir sentiasa menemukan perkara paling tepat; sama ada kita sedar atau tidak. Pada saat aku melupakan luka lepas, aku ditempatkan dalam tanggungjawab membahagi jiwa raga dalam dua negara berlainan. Satu, tanah air tempat tumpah darahku, Malaysia dan yang kedua, Daerah khusus Jakarta—ibu kota anggun Indonesia hampir berumur 500 tahun yang merupakan kota pemilik status provinsi.

Dalam penjelajahan pertama ke Surabaya dan Jakarta beberapa bulan yang lepas, aku membuat kesilapan besar dalam persediaan ku untuk ke mesyuarat-mesyuarat—sambil lewa dan tak sedikit pun risaukan perbezaan selatan, utara, barat dan timur. Kerana ketidaksungguhan itu, hasilnya setiap hari aku perlu mencatur masa, kelam kabut menghabiskan mesyuarat untuk ke mesyuarat lain dan seringkali aku terpaksa memilih menaiki gojek dalam pemakaian kerja yang penuh. Sampai di tempat mesyuarat, separuh rambut basah dengan peluh dan kot juga akhirnya penuh debu jalan.

Salah satu perkara yang sebenarnya amat penting bagiku adalah aku perlu berbau wangi dan berpakaian kemas pabila berjumpa sesiapa pun untuk urusan kerja jadi kesilapanku itu sedikit sebanyak memudaratkan perwatakan ku di hadapan rakan-rakan perniagaan. Setelah tiga minggu yang penuh dengan keadaan begitu, aku mula belajar tentang kota ini bersungguh-sungguh termasuklah membiasakan lidahku bertutur lenggok bahasa indonesia serba sedikit, sesuatu yang jarang sekali aku lakukan kerana sebelumnya aku lebih selesa berbahasa melayu atau inggeris.

Boleh dikatakan aku hampir menjadi arif dalam membezakan daerah selatan, utara, barat dan timur setelah mempelajari selok-beloknya melalui peta.  Peta padaku adalah guru terbaik dalam mengajar arah. Kau akan tahu di bahagian kiri itu arahnya mana, bahagian kanan itu penuhnya dengan apa. Back to basic. Belajar seperti orang bodoh dan menjadi pandai untuk menjadi bodoh kembali supaya pelajaran takkan pernah terhenti dan kita akan selalu mengetahui perkara baru.

Selain itu, perkara lain yang membantu kali ini adalah keadaan yang tidak se-sesak seperti dahulu. Kerajaannya mengarahkan satu polisi baru di mana hanya sesetengah kereta yang dibenarkan masuk pada hari tertentu. Odd plate number for odd days of the month—-nombor genap pada hari genap and that was my first time experiencing such policy in any country and living with it. Aku cuma perlu berhati-hati mencatur masa dan memilh kereta kerana bila-bila masa mereka boleh membatalkan saja pesananku jikalau nombor keretanya tidak menepati peraturan pada hari tertentu.

Aku membuat keputusan untuk tinggal di daerah selatan untuk minggu yang pertama kerana dalam caturan peta; aku sentiasa tahu, kota ini adalah hanya untuk sesiapa yang sentiasa cekal menerima cabaran; baik untuk rakyatnya sendiri mahupun rakyat dari negara-negara lain. Sifat kotanya saja padat dan luas. Setiap pelusuk takkan mampu habis diteroka dan banyak jalan yang berliku sampai ke hujung kawasan perumahan. Kadang pemandu sendiri bertanyakan arah padaku yang berakhir dengan kekeliruan kedua-duanya sekali.

Setiap hari setelah penat menjelajah ke seluruh pelusuk kota, di hadapan hotel, aku akan berdiri di satu sudut sambil memerhati kawasan sekeliling.  Melawai adalah tempat menunggu. Tempat puluhan perkerja grab menunggu makanan untuk dihantar ke pelanggan. Ada yang tertidur di atas motor, ada yang merokok dan ada yang memandang aku yang sedang memandang mereka. Kadangkala aku mencuri foto sekali-sekala untuk dibuat kenangan tanpa mereka sedari. Melawai juga adalah tempat teman wanita menunggu teman lelaki untuk meluangkan masa di kafe-kafe, tempat ibu mengendong anak sambil memesan makanan di tepi jalan dan mungkin juga tempat orang yang mengusir dirinya dari negara sendiri seperti aku yang memandang langit sambil menghitung hari untuk pulang setelah selesai urusan kerja.

Sepanjang minggu pada hari bekerja, aku banyak menghabiskan malam-malam di bilik hotel. Berlainan dari jelajah-jelajah sebelumnya, kali ini perasaannya teramat sunyi kerana aku memaksa aturan yang menjanjikan hidup atau mati kali ini, aku perlu membuat lonjakan perubahan dalam nombor-nombor yang aku kejar seterusnya meletak titik noktah untuk perjudian perkara lain termasuklah penulisan atau kekasih.

Dan bercakap mengenai penulisan-

Setiap hari aku berjumpa cabaran demi cabaran untuk menulis satu babak penuh dan anehnya, aku menjadi seseorang yang memerlukan kopi di waktu pagi untuk berfungsi. Kegemaranku di Jakarta selatan adalah red velvet latte di suatu kedai kecil berwarna biru cair. Larutan terakhir red velvet latte sentiasa berbentuk matahari tenggelam ataupun Aurora di dalam cawan-sepertinya perkara sekeliling sedang cuba memberikan aku inspirasi untuk aku gerakkan jemari menulis beberapa novel yang aku gantung ceritanya. Aku biarkan beberapa perenggan Sementara Cakerawala Hilang tenggelam dahulu. Biarkan mereka belajar menggapai udara dan kembali terapung ke dasar dengan sendiri.

Dan dari kedai kecil berwarna biru cair itu juga, satu-satunya nota kecil yang berjaya aku tulis perenggannya berbau mengenai perasaan kesunyian yang wujud setiap malam dan mengenai ciri diri yang aku jumpa di Jakarta Selatan—sepertinya aku hanyalah kekasih yang terusan mengalah dalam kehidupan yang serbi-serbi sibuk dan mengongkong tapi dalam masa yang sama, memikirkan masa aku bakal dipadam dari dunia dan kehilangan seseorang yang amat aku hargai dalam dilema itu.

Tujuh perenggannya aku siapkan dalam masa dua tahun seterusnya-beralun dalam prosa yang bernama ‘AURORA’.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *