Mengecap Petunjuk Syurga, Sekali Lagi

Untuk Berjaya Tioman Resort
“Yang bersayap tak pernah bermimpi untuk terbang. Mereka bermimpi untuk dibebaskan. Yang berinsang tak pernah bermimpi hidup di darat, mereka bermimpi untuk terus tenggelam jauh dari kemelut manusia.”
Lebih kurang dua minggu lepas, aku mengalami kejadian antara hidup dan mati sekali lagi. Kali ini melibatkan kecederaan besar dan dalam di bahagian belakang kepala. Darah tak berhenti keluar dan kata doktor, jika aku lambat dihantar ke unit kecemasan, pasti tempatku seterusnya adalah ruang koma atau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia.
Dalam tempoh hari ke-sepuluh sehingga ke-empat belas, aku melalui pengalaman yang tak pernah aku bayangkan sebelumnya akan terjadi. Pening kepala, pergerakan tidak seimbang, mudah runsing kerana sensitif kepada cahaya malah bunyi bising dan masalah kehilangan memori. Aku aku mengalami ‘short term memory loss’ pada saat itu. Sehingga kini, aku masih gagal memutar memori jelas ketika kejadian. Ketika kejadian, aku tidak tahu aku di mana, tidak tahu mengapa kepala berdarah, tidak tahu mengapa aku memakai kasut sukan ketika dalam CT scan.
Pengalaman dari mula terjadi, saat rambutku dicukur di bahagian luka dan ketika aku berseorangan di dalam bilik mandi, aku tidak dapat menahan diri dari menitiskan airmata. Aku fikir, aku paling takut kehilangan keseluruhan memori termasuk kemahiran-kemahiran yang sudah aku pelajari, takut lupa manusia-manusia penting dalam hidup dan yang paling utama kehilangan pemahaman tentang siapa sebenarnya diri. Siapakah aku tanpa memori?
Kejadian berlaku beberapa hari sebelum perancangan ke Berjaya Tioman Resort. Pada mulanya, fikiranku berbolak-balik untuk pergi atau tidak-atau mungkin aku perlu berehat saja di rumah. Aku dinasihat untuk menjaga luka di kepala supaya tidak terdedah kepada kuman. Jika demam atau mengalami sakit kepala yang melampau terus ke hospital saja. Dalam masa yang sama, aku sangat merindui laut yang kerap ku anggap “a hint of Paradise”.
Jadi, aku teruskan.
Perjalanan Hari Pertama ke Berjaya Tioman Resort
Aku dan keluarga menyimpan kereta di kawasan letak kenderaan dengan harga tiket lebih kurang RM15.00 sehari. Kami memulakan perjalanan dari Terminal Tanjung Gemok ke Kampung Tekek, Tioman menggunakan Feri Gemilang 1. Harga tiket pergi balik untuk dewasa berharga RM65.00. Pada hari yang sama, rupanya penuh satu Feri dengan keluarga, pasangan dan penggembara yang mahu ke pelbagai destinasi termasuk Kampung Tekek. Kerana masalah memori, ini kali pertama aku mengambil berpuluh gambar dan video untuk setiap beberapa minit. Selalunya, aku lebih gemar menikmati pemandangan, mengingati semuanya dengan penglihatan dan sentuhan jemari. Dek kesan ubat yang baru aku ambil, aku beransur tertidur di bahu dia.
Sampai saja di Kampung Tekek, berbaris feri dan bot kecil di pelabuhan termasuk bot milik Klinik Kesihatan Kampung Tekek. Kami berjalan terus ke kawasan pintu keluar kerana sebuah kenderaan milik Berjaya Tioman Resort sudah menunggu. Kenderaan istimewanya berwarna putih, berkonsep terbuka dan mempunyai bahagian yang menyimpan bagasi berpagar di hadapan tempat duduk penumpang. Dalam satu masa, kenderaan boleh membawa dua puluh penumpang, tidak termasuk pemandu dan teman pemandu di sebelah. Petugasnya ramah dan tidak lokek membantu penumpang menyusun bagasi.
Sepanjang perjalanan dari Jeti Kampung Tekek ke Berjaya Tioman Resort, udaranya nyaman selari dengan pemandangan indah penuh dengan kehijauan kampung. Keistimewaan utama Berjaya Tioman Resort adalah lanskapnya yang terletak benar-benar di antara gunung-ganang megah, bayu yang menenangkan dan lautan jernih di mana penginap yang berasal dari kawasan kampung bertuah dapat menikmati pengalaman “home away from home” manakala penginap yang berasal dari kawasan bandar pastinya mengecap keindahan “an escape from the hustle and bustle of the city”.
Sampai di pintu masuk Berjaya Tioman Resort, kelihatan beberapa bilik berbentuk rumah melayu klasik berwarna coklat, berselang pelbagai jenis pokok termasuk pokok kelapa yang tinggi meranum. Laluan pejalan di antara bilik memberi kemudahan untuk penginap terus ke pantai, ke ruang makan atau ke tempat-tempat lain. Antara kategori utama bilik adalah Garden Chalet, Garden Terrace, Garden Premier Chalet, Garden Premier Terrace dan Beach Terrace di mana foto dan maklumat bilik termasuk senarai harga boleh didapati di https://www.berjayahotel.com/hotels-and-resorts/malaysia/tioman.html.
Kedatangan kami dan tetamu lain disambut persembahan nyanyian dan tari aluan dari pekerja-pekerja-membuatkan perkara pertama yang terlintas dalam kepala sebelum memulakan pengalaman di sana adalah perkataan “riang”. Aku perhati terdapat pelbagai kenderaan tersedia untuk memudahkan penginap ke bilik seperti van, kereta buggy dan lain-lain. Kelihatan juga deretan basikal dan ATV yang meyakinkanku bahawa keistimewaan kedua Berjaya Tioman Resort adalah kebolehannya menjadi destinasi merapatkan ikatan kekeluargaan, mahupun pasangan. Tidak perlu keluar dari kawasannya kerana segala-galanya sudah tersedia.
Selepas menyelesaikan proses check-in, kami dihantar ke bilk menggunakan kereta buggy. Kali ini, kami memilih Garden Premier Terrace yang terletak di sepanjang deret berdekatan lobi. Sekeping kad bertulis tangan oleh pengurus resort bersama sebakul buah berisi mangga, pisang, buah naga, oren dan plum menjadi perkara pertama yang menyambut sebaik membuka pintu. Garden Premier Terrace mempunyai empat bahagian utama. Bahagian pertama di luar,beranda merangkum dua kerusi kayu, bahagian kedua iaitu bahagian utama bilik di mana sebuah sofa terletak selesa di antara katil, TV dan meja menulis, bahagian ketiga merangkum meja solek dan lemari dan bahagian keempat, bilik mandi yang lengkap dua sinki, shower dan tab mandi.
Aku mengambil kesempatan untuk berehat sambil menikmati potongan buah walaupun sudah tak sabar melakukan aktiviti pertama pada sebelah petang. Kami ke Kawasan Water Sports Cabana di mana kesemua peralatan dan kayak berwarna biru, hijau, kuning, merah dan kelabu tersusun rapi. Kami mendaftar nama mengikut jenis kayak, sama ada solo atau berpasangan. Seterusnya, kami diberi penerangan keselamatan dan had Kawasan untuk berkayak. Kembali menjadi kanak-kanak, kami bergilir memilih kayak terbaik dan membuat rakaman kononnya kami sedang dalam pengembaraan mencari harta karun. Pengarah rakaman sudah tentunya dia yang tak pernah lokek berimaginasi.
Udara suam merapi kulit; matahari menghangat tubuh dan air laut jernih kelihatan seperti sutera bergenang sulaman cahaya petang. Sukar menangkap mana yang paling indah, kerana pabila Tuhan mempersembah ciptannya ramah dalam keadaan cemerlang untuk dinikmati, sesuatu perkara sukar menjadi jitu sebagai pilhan hati.
Makan Malam di Asean All Day Dining
Kelihatan berapa ruang santai berbentuk gazebo di hadapan laut malam itu; yang paling gemilang adalah gazebo yang ditemani belon berwarna-warni dan lampuan kecil oren di keliling atap dan dinding. Suasana terasa seperti dalam ruang isitmewa, setiap sudut melahirkan perasaan indah mengecap malam dalam satu persatu bibit.
Tambah lagi, juadah disediakan di bahagian utama merangkumi pelbagai pilihan. Ada bahagian salad dan ulaman, roti dan sup cendawan, nasi, lauk pauk seperti beef black pepper, udang, ketam, juga pilihan selain nasi seperti mee dan pastinya pencuci mulut seperti buah-buahan tropical.
Makan malam di gazebo membuatkan aku menyimpan angan berumah di tepi pantai satu hari nanti-berterusan tenggelam dalam perbualan indah tanpa memikirkan hiruk-pikuk di bandar. Terutamanya ketika aku menangkap gendang tambourine dan nyanyian lagu ulangtahun untuk ayah-seperti alunan malam sedang berbisik bahagia antara suara dan ramah keluarga yang menawan. Malam bukan sahaja mengundang bahagia, bahkan menarik kehalusan terus dari jiwa. Keistimewaan ketiga Berjaya Tioman Resort pastinya keluarga petugasnya yang tak pernah lelah bersedekah senyuman dan keringat. Kegembiraan dan masa istimewa penginap adalah yang paling utama.
Kek coklat berhias marshmallow, strawberry dan buah beri dibawa kepada ayah dan lilin dinyala. Saat bersama doa tertitip dari ayah untuk dirinya, aku berharap akan terus diberi rezeki menyambut hari-hari seperti ini seterusnya pada tahun akan datang.
People are people. Angels are angels. But love and death, are just two sides of the same coin. Choose your side and live with it.
*Bakal bersambung di bahagian kedua-
Mendakap Matahari Terbenam